Wednesday, May 12, 2010

Pesanan Perdana Menteri







Sayangi Parti, Dekati Hati Rakyat – Najib


KUALA LUMPUR 11 Mei – Anggota UMNO perlu sayangi parti, mendekati hati rakyat sepanjang masa dan kembali kepada semangat jati diri berjuang dengan gigih supaya parti ini terus disegani dan mendapat tempat di hati rakyat, kata Presiden UMNO, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.
UMNO, kata Perdana Menteri, perlu menjadikan perjuangan untuk rakyat sebagai jati diri bagi membolehkan mereka menjadi pemimpin yang dekat di hati masyarakat.
Untuk menjadi pemimpin yang dekat di hati rakyat, para pemimpin UMNO perlu sentiasa berusaha dan membuat program-program sepanjang masa dan bukannya turun padang hanya pada musim-musim pilihan raya sahaja.
“Untuk sentiasa menjadi pemimpin yang dekat di hati rakyat, buatlah usaha, program sepanjang masa, sepanjang zaman… bukan dekat pilihan raya baru ke hulu ke hilir siapkan data peribadi.
“Masa inilah kita mesti tunjukkan kita pemimpin yang sentiasa berjuang untuk kepentingan rakyat sepanjang masa. Inilah UMNO yang mesti dijadikan jati diri kepada kita semua,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-64 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Naib-naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, anggota-anggota Majlis Tertinggi UMNO dan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut hadir.
Najib menceritakan, semasa sembahyang Maghrib sebelum majlis tahlil, membaca surah Yasin dan doa kesyukuran bermula, beliau duduk di sebelah seorang pejuang veteran UMNO.
“Pejuang veteran itu sanggup menaiki bas selama enam jam semata-mata untuk hadir ke majlis pada malam ini. Dia datang kerana sayangkan parti… sayang UMNO dia sanggup naik bas enam jam untuk hadir majlis tahlil dan bacaan Yasin dan pulang menaiki bas selepas majlis ini selesai,” ujar beliau.
“Kerana sayangkan UMNO, sanggup berjuang habis-habisan. Sayang UMNO mesti jadi pejuang yang dekat di hati rakyat dan sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya yang disambut tepukan kira-kira 3,000 anggota UMNO dan tetamu yang hadir.
“Saya rasa terharu lihat muka pejuang UMNO itu. Kalau dia mahukan sesuatu saya agak sudah terlambat untuk dia minta. Bila saya tanya kenapa dia datang, katanya dia datang semata-mata kerana sayangkan parti,” kata Najib.
Beliau berkata semangat sayangkan parti seperti itu wajar dijadikan contoh dan pegangan anggota parti, tidak kira tua atau muda bagi memastikan parti itu terus disegani.
Najib turut mengingatkan anggota parti bahawa walaupun kini sokongan kepada parti agak meningkat khususnya di kalangan orang Melayu, namun anggota parti tidak boleh menjadikan UMNO dilihat hanya memperjuangkan kelompok tertentu sahaja.
Sebaliknya, beliau berkata UMNO mesti berpaksi kepada kepentingan rakyat jelata yang merupakan kunci kejayaan sesebuah parti politik.
Najib turut mengulangi ingatannya kepada anggota UMNO terhadap punca kejatuhan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang tumbang di tangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) selepas 54 tahun memerintah Jepun.
Beliau berkata kisah parti politik itu tetap relevan untuk dijadikan iktibar dalam perjuangan UMNO.
“Dalam majlis seperti ini, kita harus mengingatkan diri sebagai parti politik yang sudah wujud dan menjadi pemerintah selama 46 tahun dan melalui 12 pilihan raya umum bahawa UMNO tetap berdepan pelbagai cabaran.
“Oleh itu, kita harus mengambil iktibar apa yang berlaku pada parti lain yang lebih kurang usianya dengan UMNO tetapi hari ini sudah menjadi pembangkang,” katanya.
Najib yang menyifatkan sambutan tahun ini lebih meriah berbanding sebelum ini, berkata: “Mungkin kepada kita semua, mood dalam UMNO hari ini bertambah, lebih berkeyakinan akan masa depan parti.
“Sekurang-kurangnya kalau kayu pengukurnya pada dua pilihan raya kecil lepas (Bagan Pinang dan Hulu Selangor) jelas menunjukkan orang Melayu, walaupun mungkin tidak semua, sudah kembali kepada Umno.
“Oleh itu saya merasa syukur segala usaha, perkara yang dimulakan dan segala yang sudah dilaksanakan telah membuahkan hasil yang lebih meyakinkan. Oleh itu sambutan ulang tahun ke-64 UMNO ini, saya berasa lebih optimis tentang masa depan parti,” katanya.
Sebelum itu, Najib dan anggota UMNO memulakan acara sambutan ulang tahun UMNO dengan menunaikan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Yasin, Tahlil serta doa kesyukuran sebelum solat Isyak diimamkan oleh Mufti Johor, Datuk Noh Gadut di Dewan Tun Razak, PWTC.


No comments:

Post a Comment