Wednesday, May 26, 2010

Terkini


17 Pelajar Agama Terima Biasiswa RM5.1 Juta

May 27th, 2010
BIASISWA 1MALAYSIA… NAJIB Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom bersama sebahagian daripada 17 pelajar yang menerima biasiswa 1Malaysia di Putrajaya, semalam. Mereka adalah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia dari sekolah menengah agama negeri dan sekolah menengah agama rakyat. Setiap seorang daripada mereka menerima biasiswa RM300,000 bagi tempoh pengajian selama enam tahun dalam bidang perubatan di Mesir.
PUTRAJAYA 26 Mei – Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak hari ini menunaikan satu lagi janjinya apabila menyerahkan surat tawaran biasiswa 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bernilai RM5.1 juta kepada 17 pelajar cemerlang aliran agama bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir.
Pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari sekolah menengah agama negeri (SMAN) dan sekolah menengah agama rakyat (SMAR) itu menerima biasiswa sebanyak RM300,000 bagi tempoh enam tahun pengajian.
Perdana Menteri berkata, beliau mahu melihat pelajar agama yang cemerlang itu menjadi golongan ulul albab selain mempunyai pilihan yang luas dalam bidang pengajian termasuk dalam kursus kritikal yang diperlukan negara.
‘‘Ini bagi mereka yang hendak meneruskan pengajian untuk menjadi pegawai agama yang mana kita dapat lihat mereka bertugas di Pusat dan negeri-negeri.
“Di samping itu, saya juga sedar bahawa kita perlu memberi satu lagi pilihan kepada mereka yang ingin meneruskan pengajian dalam bidang kritikal kerana ini juga terangkum dalam hasrat kita untuk melahirkan umat cemerlang dan membangunkan tamadun Islam yang berjaya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB berkata demikian pada majlis penyampaian surat tawaran biasiswa tersebut di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin dan Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Sementara itu, penerima biasiswa 1MDB berazam lulus cemerlang akan bekerja keras untuk lulus cemerlang.
Para pelajar aliran agama itu berazam membalas jasa kerajaan dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam pengajian perubatan masing-masing.
Sebagai kumpulan pertama yang menerima biasiswa tersebut, mereka amat berterima kasih kepada Najib kerana membantu merealisasikan hasrat untuk bergelar doktor.
Sakinah Abdullah Fadzil, 18, dari Terengganu yang bakal melanjutkan pengajian di University of Tanta, Mesir berkata, dia berasa amat bertuah kerana turut tersenarai bersama 16 lagi pelajar pertama yang dianugerahkan biasiswa tersebut.
”Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang supaya biasiswa yang diterima ini berbaloi kepada kerajaan.
”Saya mahu balas jasa kerajaan kerana membantu kami meneruskan pengajian di luar negara dalam bidang perubatan, semua ini benar-benar menyuntik semangat saya,” katanya ketika ditemui selepas menerima surat tawaran biasiswa 1MDB dari Perdana Menteri di sini hari ini.
Madihah Mat Ali, 19, pula yang bakal melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir bersyukur kerana terpilih melanjutkan pelajaran dalam bidang diminati.
”Saya akan manfaatkan biasiswa ini dengan sebaik mungkin demi mencapai cita-cita untuk bergelar doktor dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Menurut pelajar yang berasal dari Kelantan itu, keprihatinan kerajaan dalam membantu pelajar aliran agama membuktikan ketelusan kerajaan dalam membela nasib mereka.
Dalam pada itu, Neena Farhana Sani, 18, menyifatkan dirinya bertuah kerana tersenarai bersama-sama 16 lagi penerima biasiswa 1MDB.
Katanya, persaingan agak sengit kerana ia turut dipohon oleh 593 pemohon lain.
”Insya-Allah, saya akan melanjutkan pengajian di Universiti Kaherah dan saya mahu lakukan yang terbaik dan pulang dengan kejayaan ,” katanya.
Katanya, pemberian biasiswa tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu pelajar aliran agama meningkatkan lagi ilmu dalam bidang perubatan.
Sementara itu, Muhammad Ilham Hakimi Mohd. Zaidi, 18, berkata, impiannya untuk bergelar doktor dan melanjutkan pengajian di Asia Barat menjadi kenyataan.
”Pemberian biasiswa ini benar-benar memberi seribu makna kepada saya, lebih-lebih lagi ia disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri,” katanya. – Utusan Malaysia/MediaUMNO

No comments:

Post a Comment